15 January 2014

“Late Talkers” : Mengapa Anak Saya Lambat Bercakap

Ramai orang bertanya sama ada kelambatan bercakap adalah fenomena biasa terutamanya jika dalam sejarah keluarga, ada ahli keluarga yang juga lambat tetapi kemudian tiada masalah pertuturan. Di peringkat awal, adalah sukar untuk kita mengenalpasti kanak-kanak mana adalah Late Talkers(bermasalah pada mulanya dan kemudian dapat mengejar perkembangan i.e catch up ) dan kanak-kanak mana yang akan mempunyai masalah bahasa dan pertuturan untuk jangka masa yang panjang.
Saya akan menjelaskan mengenai  ’Late Talker’.
‘Late Talkers‘ adalah kanak-kanak yang berumur antara 18-30 bulan yangmempunyai kefahaman bahasa yang baik. Mereka biasanya mengikut perkembangan normal dalam kemahiran bermain, motor, pemikiran and sosial, tetapi hanya boleh menggunakan perkataan yang terhad untuk tahap umur mereka.
Penyelidik masih belum dapat mengenalpasti punca atau penjelasan untuk kelewatan ini. Walau bagaimanapun, mereka mendapati ‘Late Talkers’ biasanya :
  1. mempunyai sejarah ahili keluarga lain yang mempunyai kelambatan bahasa,
  2. adalah lelaki,
  3. dilahirkan dengan kurang berat badan, atau
  4. dilahirkan sebelum 37 minggu dalam kandungan (pra-matang)
Sebanyak 13% daripada kanak-kanak yang berusia 2 tahun adalah  ’Late Talkers’.
Bagaimanakah ibu bapa dapat mengenalpasti sama ada kosa kata anak anda adalah sesuai untuk tahap umurnya. Berikut adalah panduan yang dapat membantu anda:
1.       Kanak-kanak berumur 18 bulan patut menggunakan sekurang-kurangnya 20 perkataan yang berlainan jenis, seperti kata nama (adik, bola), kata kerja (makan, tidur), kata sendi (atas, bawah), kata sifat (panas, besar), kata sosial (hi, bye).
2.       Kanak-kanak berumur 24 bulan patut menggunakan sekurang-kurangnya 100 perkataan dan boleh buat ayat 2 patah perkataan. Ayat ini perlu dihasilkan oleh kanak-kanak itu sendiri dan bukannya ayat yang dipelajari  sebagai keseluruhan, seperti ”bye bye”, ”apa tu?”. Contoh ayat 2-patah yang sesuai ialah ”makan biskut”, ”baju kotor”.
3.       Kanak-kanak berumur 36 bulan patut menggunakan ayat 3-4 patah perkataan dan juga boleh menjawab soalan ”siapa?”, ”apa?”,  dan ”mana?” yang mudah.
Siapa yang akan dapat ’kejar balik’ dalam perkembangan bahasa dan siapa pula tidak dapat? Berikut adalah senarai risiko dan tanda-tanda kanak-kanak yang mungkin akan mempunyai kesukaran dalam perolehan bahasa untuk jangka masa panjang:
  1. senyap pada waktu bayi, kurang babbling (ba, ma, ga)
  2. mempunyai sejarah jangkitan telinga
  3. mempunyai bunyi konsonan yang terhad (p, b, m, t, d, n, y, k,g, dll)
  4. tidak meniru menyebut perkataan
  5. hanya menggunakan kata nama (nama orang, barang, tempat) and sangat kurang kata kerja (cth: lompat, minum, dll)
  6. sukar bermain dengan kanak-kanak yang lain
  7. sejarah ahli keluarga yang mempunyai kelambatan dalam kemahiran komunikasi, atau masalah pembelajaran
  8. kelewatan dalam kefahaman bahasa (contoh: tidak faham arahan)
  9. menggunakan isyarat untuk berkomunikasi
Adakah Late Talkers boleh mengejar bahasa tanpa bantuan atau rawatan? Sebahagian besar daripada mereka nampaknya dapat mengejar perkembangan kanak-kanak lain apabila mereka masuk ke sekolah. Walau bagaimanapun, kanak-kanak tersebut biasanya mempunyai kesukaran dalam aspek bahasa tertentu seperti tatabahasa, berbanding dengan kanak-kanak lain.
Sekiranya perkembangan bahasa dan pertuturan anak anda tidak mengikut umur atau disyaki sebagai Late Talkers, anda adalah disyorkan untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin. Ini adalah kerana penerimaan rawatan pada usia yang awal akan memberi kesan yang lebih positif.
  • Sila jumpa doktor kanak-kanak/pediatrik untuk mendapatkan diagnosa awal
  • Sila jumpa Speech-Language Pathologist/Therapist untuk mendapatkan penilaian dan rawatan
  • Sila jumpa Audiologist untuk memastikan tiada masalah pendengaran walaupun anda berpendapat bahawa anak anda tiada masalah pendengaran.Ini kerana masalah pendengaran yang ringan (masih boleh mendengar bunyi tetapi kurang jelas) boleh juga memberi kesan kepada perkembangan bahasa dan pertuturan.
(answered by Ms. Yong Ennie )
 ennie
* Ms Yong Ennie attained her degree in speech sciences with honours from Universiti Kebangsaan Malaysia. [ BSpeech Sci. (Hons) (UKM) ] Her many roles as a speech-language pathologist includes providing assessment, diagnosis and intervention regarding speech, language and feeding difficulties. She also provides interventions for children with speech and language difficulties. 



Sumber : doktorbudak