Showing posts with label Hidup Sebagai Mualaf. Show all posts
Showing posts with label Hidup Sebagai Mualaf. Show all posts

07 March 2013

Menutup Aurat

Sebelum memeluk agama Islam, banyak kali saya berfikir bila masa yang sesuai untuk bertudung.
Bila saya tanya pendapat orang lain,mereka katakan ikut kata hati saya. o.O

Saya berfikir kalau terus bertudung nanti takut buka tudung suka hati.Kalau kemudian nanti baru bertudung saya berfikir nanti susah nak sesuaikan diri.Betapa naifnya sebab tak tau menutup aurat itu adalah wajib dan hanya tahu aurat tu adalah bertudung dan berpakaian sopan.

Selepas selesai urusan di Perkim,saya berniat untuk teruskan bertudung.Lagi pun dah lama saya impikan untuk bertudung macam orang lain.Setiap malam saya belajar pakai tudung untuk keesokkan harinya.Setiap bulan juga saya beli tudung baru.Seronok ada pengalaman indah macam ni.Terasa diri sangat dihormati bila bertudung.

Alhamdulillah sehingga kini saya bertudung untuk menutup aurat.

06 March 2013

Nama Islam

NUR ALYA UMAIRAH
 
Maksudnya :
 
Nur - Cahaya
Alya - Ketinggian
Umairah  - Permaisuri

Nama yang dipilih sendiri melalui buku panduan nama anak untuk si comel :))
Sehingga kini,mereka lebih selesa memanggil nama Alya berbanding Umairah.Saya tak kisah asalkan nama saya tidak diringkaskan.






22 February 2013

Islam Agamaku - 2

Selepas tamat tingkatan 6, terus berhijrah ke Shah Alam untuk bekerja.Niat untuk memeluk agama Islam dipendam bertahun-tahun lamanya.

Sehingga satu masa,beberapa hamba Allah bertanya tak ada niat nak masuk Islam ??
Bukan susah tapi persediaan belum cukup sepenuhnya.
Bukan juga tawar hati tapi terasa sebak mengenangkan penerimaan keluarga satu masa dulu.
Bila fikir balik dugaan yang saya alami tidak seteruk orang lain.Apatah lagi nak dibandingkan dengan halangan Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya.Ketara jauh bezanya.

Menginjak usia 23 tahun,saya semakin nekad untuk tunaikan niat memeluk agama Islam.Membuat   persediaan sedikit demi sedikit.Hal ini saya rahsiakan dari semua orang.Saya mula membeli telekung dan sejadah.Sepasang baju kurung hijau pucuk pisang dan tudung bawal untuk dipakai pada masa hari tu.Telefon pejabat PERKIM untuk buat temujanji.Apa yang perlu dibawa untuk proses memeluk agama Islam adalah :

- Dua orang saksi lelaki (Islam,akil baligh dan waras)
- dua keping gambar bertudung
- salinan IC sendiri
- salinan IC dua orang saksi
- dan yang paling penting,pakaian menutup aurat.

Sehari sebelum ke Perkim,saya beranikan diri untuk telefon mak di kampung.Luahkan sekali lagi niat saya.Mak terkejut sebab dia andaikan saya dah masuk Islam sejak umur 18 tahun.Saya terharu dengan pesanan mak.Saya masih ingat sampai sekarang.Dia cakap bila dah masuk agama Islam,hiduplah dengan cara Islam.Puasa dan sembahyang.Ya Allah,mengalir air mata saya.

29 March 2010
Pagi tu pergi kerja macam biasa.Tudung pula simpan dalam kereta.Dalam pukul 10 pagi kami gerak ke Perkim Shah Alam ( dalam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah).
Setibanya di sana,saya ternampak seorang makcik guard dah bersedia dengan sehelai tudung di tangan.Bila saya tunjuk tudung sendiri dia pesan agar pakai sebelum masuk masjid.Saya pakai sekadar menutup rambut kemudian masuk ruang wuduk untuk kemaskan tudung.Pertama kali pakai tudung dan tempat tu tak ada cermin.Nasib baik dah praktis di rumah sebelum ni :)

Bila dah siap bertudung, kami menuju ke pejabat PERKIM.Masa tu ada seorang perempuan baru selesai melafaz dua kalimah syahadah.Alhamdulillah.

Rasa berdebar-debar?Memang.Takut kalau tiba-tiba tak lancar masa mengucap nanti.Mula-mula ustaz tu tanya betul ke nak memeluk agama Islam.Saya angguk dan jawab ya.Kemudian dia terangkan sedikit pasal Islam.

Selesai membuat penerangan,dia minta saya isi borang berwarna hijau.Isi maklumat nama asal,nama Islam dan lain-lain.Kemudian dia tunjukkan satu buku dan belajar baca dua kalimah syahadah dalam bahasa rumi.

Bismillahnirrahmannirrahim

ASH-HADU AN LA ILAHA ILLA LLAH   WA ASH-HADU ANNA MUHAMMADA RRO SULU LLAH

Ertinya ;

AKU BERSAKSI DAN BERIKRAR BAHAWA TIADA TUHAN YANG LAYAK DISEMBAH MELAINKAN ALLAH, DAN AKU BERSAKSI DAN BERIKRAR BAHAWA NABI MUHAMMAD ADALAH PESURUH ALLAH YANG TERAKHIR.


Alhamdulillah lancar saya menyebutnya.Ustaz pun terkejut.Bersyukur pada Allah SWT saya terpilih dan diberi hidayah untuk menjadi seorang muslimah.

Selesai pengislaman,ustaz hadiahkan buku agama dan nasihatkan saya supaya masuk kelas fardu ain di masjid tu.Saksi saya pula pesan supaya amalkan menyebut Allah dalam hati.

Kami balik ke tempat kerja dan rakan-rakan sangat terkejut dengan perubahan saya.
Kenapa bertudung?
Saya dah masuk Islam.
Mereka (kawan perempuan) memeluk saya dengan erat.Terasa kasih sayang sebagai saudara Islam.
Nikmatnya hidup sebagai Islam.
Alhamdulillah.

21 February 2013

Islam Agamaku

Masih segar dalam ingatan saat minta kebenaran nak masuk Islam dengan mak.Masa tu umur 18 tahun.Sepatutnya boleh buat keputusan sendiri tentang pemilihan agama tapi memikirkan perasaan mak dan keluarga lain,gagahkan diri untuk bersuara.

Masa tu off day.Tak bekerja.Baru bangun lepas tu terus ke belakang rumah.Mak tengah basuh baju.Spontan mulut ni bagi tahu mak ada benda nak cakap.Bila mak tanya apa,terus cakap nak masuk Islam.Mak pula buat reaksi selamba sambil tanya kenapa nak masuk Islam.Saya pun cakap sebab memang niat nak masuk dan minat dengan Islam.Perbualan mati di situ.Mak tak marah dan tak cakap apa-apa.

Keesokkan harinya,balik dari kerja, kakak terus sentap dan heret tangan saya dari jalan masuk ke rumah sampai di ruang tamu.Habis kena maki hamun.Kena tuduh terpengaruh dengan duit,dituduh nak buang keluarga.Mak hanya diam.Abang pula siap nak kurung dalam bilik.Sempat lari masuk bilik air dan kunci sambil nangis sepuas-puasnya.Dah lega baru keluar dan masuk bilik untuk tidur tanpa makan dan mandi.

Bangun pagi kemas semua baju masuk dalam beg.Bukan sakit hati sebab tak dibenarkan masuk Islam tapi sebab tak diberi peluang untuk bersuara.Dilayan macam budak-budak.Kebetulan pula semalam hari terakhir bekerja sebab dapat tawaran masuk Tingkatan 6.Nekad balik kampung seorang diri.Dalam fikiran apa nak jadi pun biarlah terjadi.

Akan bersambung...

20 February 2013

Sejak Bila Minat Agama Islam

Zaman sekolah memang seronok.Di sekolah dapat jumpa kawan-kawan.Bila balik rumah memang tak dapat ke mana-mana.Mak sangat garang.Satu langkah nak keluar rumah satu kali juga disebat.Sila duduk dalam rumah jaga adik dan buat kerja rumah.

Sejujurnya saya tak menikmati sepenuhnya zaman kanak-kanak riang macam orang lain.Orang lain ada pengalaman mandi sungai,main masak-masak,main basikal setiap petang dan banyak lagi.
Tapi saya bersyukur dapat mak yang garang.Saya ada pengalaman untuk bawa ke alam dewasa.Pengalaman yang mengajar saya untuk berdikari.

Hari pertama masuk Darjah Satu,ada seorang ustazah masuk dalam kelas.Dia bertanya siapa yang beragama Islam sila angkat tangan untuk masuk kelas jawi.Maksudnya untuk kelas Pendidikan Islam.Saya hampir-hampir nak angkat tangan tapi sempat berfikir yang saya ni bukan Islam.Dalam hati terdetik, 'kan bagus kalau saya ini Islam'.
Saya tak tahu apa sebenarnya Islam.Hanya tahu itu adalah agama selain agama Kristian.Teringin nak belajar tulisan jawi sebab masa tu dah pandai ABC :)

Masuk Darjah Enam, kawan - kawan perempuan Islam dah mula pakai tudung.Dalam hati,dorang sangat cantik.Bila balik rumah,masuk dalam bilik terus capai tuala buat tudung dan menghadap cermin.Ya Allah, terkesima sekejap.Alangkah bagusnya kalau boleh pakai tudung setiap hari.

Bila masuk sekolah menengah, lagi ramai kawan-kawan agama Islam.Entah kenapa saya lagi minat bergaul dengan yang beragama Islam.Saya rasakan dorang sangat merendah diri.Tak ada istilah siapa yang paling cantik,siapa yang ramai peminat,siapa yang banyak duit belanja.Bila dorang solat Zohor saya rasa sunyi.Ternanti-nanti dorang balik dari surau.Saya pernah tanya dengan dorang apa dosa kalau tak solat.Dorang jawab memang berdosa.Sebenarnya saya maksudkan apa hukuman orang yang tak solat.Contohnya kalau orang mencuri kena potong tangan.

Masa tingkatan 4, saya pernah minta seorang kawan ni tuliskan surah al-fatihah dalam tulisan rumi.Sebenarnya saya nak hafal surah tu.Sebelum tu juga saya dah belajar mengucap dua kalimah syahadah.Ya Allah, mengalir air mata saya masa tu.Selepas tu saya cuba elakkan makanan yang haram dalam Islam.Hal ni hanya seorang saja yang tahu iaitu cikgu saya.

Masuk alam pekerjaan, mula beli tudung tapi tak pakai lagi.Selain tu,beli buku-buku tentang Islam.Sangat suka pakai baju kurung dan tetap suka berkawan dengan yang beragama Islam.Pergi sembahyang di gereja?Memang tak pernah.Pernah pergi pun tapi boleh kira pakai jari masa zaman sekolah.

InsyaAllah,akan bersambung..

Sudikah Membaca?

Terdetik di hati nak berkongsi pengalaman hidup sebagai mualaf.
Dari saat mengucap dua kalimah syahadah sehingga kini.
Saat-saat menerima hidayah dari Allah SWT.
Perasaan ketika dicemuh,diduga dan diperli.
Pengalaman berkursus bersama saudara mualaf yang lain.
Pengalaman ketika mengikut kelas fardu ain,beraya untuk kali pertama.
Dan banyak lagi.

InsyaAllah jika diberi peluang saya akan buat entri satu persatu.
Semoga ini sebahagian dakwah untuk menarik minat orang lain untuk mengenali Islam.
Amin.

04 October 2012

Jangan Pandang Rendah

Dalam agama Islam, Mu'allaf adalah panggilan bagi individu yang bukan muslim atau bukan Islam yang mempunyai harapan masuk agama Islam atau orang yang baru masuk Islam yang imannya masih lemah. Pada Surah At-Taubah Ayat 60 disebutkan bahawa para mu'allaf termasuk orang-orang yang berhak menerima zakat.
Dalam sejarah Islam golongan mualaf merupakan orang yang paling penting dalam mengembangkan ugama Islam. Antaranya adalah golongan sahabat yang memeluk Islam dan mengembangkan Islam dengan sepenuh jiwa dan raga mereka.


Mengapa dengan berstatuskan mualaf, kami dipandang rendah oleh orang lain?
Ya,kami orang baru dengan ilmu yang masih cetek tentang Islam.
Anda di luar sana,biar pun secara tak keseluruhannya,pernah tak terfikir untuk bantu kami,bimbing kami tentang ilmu Islam?
Jika kami salah,tegurlah dengan cara baik.
InsyaAllah,kami cuba buat yang terbaik.

Kenapa perlu mencebik bibir atau berkerut dahi bila kami bercakap tentang islam.
Apatah lagi bila kami cuba memberi teguran yang baik.
Beri kami peluang dan sedikit masa.
Ilmu itu luas.Banyak yang perlu dipelajari.

Alhamdulillah,saya dikelilingi dengan saudara seIslam yang baik dan mulia.
Ini sekadar renungan setelah mendengar rintihan kawan-kawan yang lain.
Kepada kawan-kawan di luar sana, sama-samalah kita menjaga diri.
Jagalah tatatertib kita.Sama-samalah kita perjuangkan hak Islam.
Mudah-mudahan boleh beri contoh yang baik.
Saudaraku,sesungguhnya kita sama sahaja di sisiNya.