30 December 2013

Tentang Homeschooling

PENCERAHAN

Bimbang jikalau ada pihak guru-guru sekolah atau pihak kementerian pendidikan terasa serta marah dek kerana pendedahan sang faqir mengenai homeschooling atau flexischooling, sang faqir mengambil peluang untuk menjelaskan semula, semoga sekalian sahabat yang dari kalangan guru yang tidak bersetuju, tidak terus menghukum.

Toyyib, adapun sang faqir dan isteri memilih untuk membuat homeschooling ini daripada sebelum kami awal-awal berkahwin dahulu dan kami mengumpul pelbagai jenis sumber dan bentuk homeschooling untuk dikaji sebelum diimplementasikan.
Ini bukanlah bermaksud ingin menafikan tugas guru atau pihak-pihak berautoriti dalam bidang pendidikan. Cuma kami menekankan sifir yang mudah, AWAL PENDIDIKAN BERMULA DI RUMAH, jika diawalan bermasalah atau pincang, dibimbangi pertengahan dan pengakhiran akan membawa masalah.

Tugas seorang guru dan pendidik di sekolah sememangnya tidak patut dinafikan malahan berat tugas mereka, tambahan pula jika mereka juga mempunyai anak yang bersekolah. Jadi, dengan adanya konsep homeschooling ini, maka, ianya meringankan beban guru di sekolah dan menggaristebalkan tugas sebenar ibubapa di rumah, berdasarkan dari Firman ALLAH Tabaraka Wa Taala :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Hai orang-orang yang beriman, PELIHARALAH DIRIMU DAN KELUARGAMU DARI API NERAKA yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai ALLAH terhadap apa yang diperintahkanNYA kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan. (At Tahrim :6)

Adapun, ada yang bersuara, konsep homeschooling ini adalah konsep barat bukan kaedah dalam Islam. Pertanyaan sang faqir, Who said so? Konsep homeschooling ini adalah konsep asal dalam Islam yang dikaji mereka dan diakui keberkesanannya. 

Cuma apabila segolongan ibubapa di Malaysia mengamalkannya, ada pihak yang mengatakan ianya adalah meniru orang barat. Kaji dahulu sirah, dalami sejarah pendidikan awal para Tabi’ Tabein, para Ulama. Kalian akan terpaku dengan dakwaan mengatakan konsep homeschooling adalah dari barat.

Seperti yang sang faqir nyatakan juga, homeschooling bukan suatu konsep yang dibawa oleh golongan elite sahaja, ianya dilihat seperti mahu mengasingkan anak-anak dari bergaul. TIDAK. Homeschooling adalah suatu kaedah supaya anak lebih rapat dengan orang yang sepatutnya mereka rapat seterusnya membina keyakinan diri dengan membawa mereka bercakap serta bergaul dengan orang ramai, bukan mengasingkan.
Konsep homeschooling mementingkan sistem, bukan hentam keromo, baik dari segi diniyyah, akademik mahupun riadah.

Memanah, berkuda, berenang, silat dan taekwondo adalah riadah yang terdapat dalam dalam jadual anak-anak sang faqir. Perancangan perlu ada, penelitian perlu cermat, dan paling pasti anak-anak memahami setiap apa yang mereka pelajari serta amali.

Tiada masa? Sibuk? Tidak pandai? Itu adalah persoalan umum yang sering timbul. It’s all about system.

InsyaALLAH, jika ramai yang berminat dengan sistem dan konsep ini, sang faqir akan cuba menyusun jadual kuliah secara bersiri di TIAF untuk para ibubapa yang bersungguh-sungguh dan jangan bimbang, ianya percuma. Yang penting adalah jangan berhenti belajar.

Semoga kita dapat menjadi ibubapa yang mithali dan prihatin dalam membentuk anak yang soleh. Aamiin Aamiin Aamiin Ya ROBBal Alamin

Sumber : FB - Wan Asrul Al-Aydrus

No comments:

Post a Comment