31 December 2013

Kenapa Anak Degil Dan Cara Mengatasinya

Adapun persoalan tentang anak yang suka memberontak dan degil. Hal ini dilihat kepada 6 keadaan utama, kenapa terjadinya masalah anak degil dan suka memberontak, iaitu :

1) Perhatian
2) Masa
3) Tugas
4) Pemakanan
5) Tarbiyyah
6) Doa

Jika ditanya kepada ibubapa yang mempunyai masalah anak sebegini, bagaimanakah dengan PERHATIAN kepada anak-anak? Jawapan mereka rata-rata, kami bekerja, kami sibuk, kami hantar anak pergi nursery, kami jaga elok tapi tetap degil. Bukan perhatian itu yang dimaksudkan, perlu kita fahami, adalah KOMUNIKASI dengan anak kecil yang otak mereka sedang ligat berkembang, perlu seiring dengan zaman, seperti mana pesanan Sayyiduna Umar Al Khattab RadhiyALLAHu Anhu, “Ajarlah anak-anakmu, bukan dalam keadaan yang serupa denganmu. Didiklah dan persiapkan lah anak-anakmu untuk suatu zaman yang bukan zamanmu. Mereka akan hidup pada suatu zaman yang bukan zamanmu.”

Faham kita akan kalimat zaman ini adalah waktu, sebenarnya bukan tertakluk kepada waktu, tetapi juga kepada keadaan tumbesarannya. Secara ringkasnya, anak-anak yang sedang membesar ini, mereka amat memerlukan PANDANGAN MATA kita (ibubapa) terutama sewaktu mereka bercerita, walaupun cerita tersebut adalah ala-ala kedoraemonan, ke shin canan dan seangkatan dengannya, tetapi perlu kita faham, apabila mereka boleh bercerita semula apa yang dilihat atau ditonton mereka, itu bermaksud keadaan minda mereka amat cerdas dengan penaakulan maklumat semasa, maka respon dari kita (ibubapa) memainkan peranan penting, ketepatan anak mata kita kepada wajah mereka sewaktu mereka bercerita mengeratkan lagi ikatan yang sedia ada, dan timbal baliknya mereka akan mendengar serta mengikut segala yang kita arahkan. 

Walau sesibuk mana jua kita dalam menguruskan hal semasa, jangan diabaikan dengan urusan kasih sayang kepada anak-anak, kerana mereka akan 'copy paste' setiap perbuatan kita, baik secara langsung atau tidak langsung.

Dalam membicarakan bab MASA, perlu ditekankan bahawa setiap perkara memerlukan pengurusan masa, termasuklah jua pengurusan masa dengan anak-anak.

Keterabaian dalam menguruskan masa untuk anak-anak akan mengundang keterabaian nilai kekeluargaan.

Jika warta berita di televisyen atau radio mempunyai waktu perdana atau bahasa lainnya 'prime time', begitulah jua dengan anak-anak.
Ibubapa perlu mempunyai WAKTU PERDANA dengan anak-anak setiap hari, bukan sekali seminggu atau sekali sebulan, walau sesibuk mana pun.

Jadikan, waktu antara jam 8malam -10malam sebagai waktu perdana dengan anak-anak kerana pada waktu ini, anak-anak amat memerlukan ibubapa mereka di sisi mereka. Bahkan jika tidak mampu untuk memberi 'prime time' selama 2 jam tersebut, luangkan sekurang-kurangnya 1 jam dahulu. 

Berada di sisi mereka tatkala mereka melakukan kerja rumah dari atau mengulangkaji pelajaran. Jika tiadapun kerja rumah (kerja sekolah), luangkan masa tersebut untuk ber'sembang' dengan mereka.

Dengan cara ini, mereka akan lebih menghormati kita (ibubapa). Malahan mereka akan sentiasa menantikan saat tersebut setiap hari, kerana mereka faham bahawa diri mereka mendapat perhatian dan kasih sayang sewajarnya dari ibubapa mereka.

Masa yang singkat jika diluangkan dengan penuh manfaat, lebih berkualiti daripada masa yang panjang tetapi dibazirkan begitu sahaja.


Sumber : FB Wan Asrul Al-Aydrus

No comments:

Post a Comment